Blogger Widgets Blogger Widgets

Friday 15 November 2013

KES BUNUH, DENDAM ANTARA 2 KUMPULAN KONGSI GELAP


Ipoh - Kes pembunuhan seorang lelaki di rumah sewanya di Simpang Pulai, di sini Sabtu lepas menjurus kepada dendam antara dua kumpulan kongsi gelap, kata polis.

Siasatan dan risikan polis setakat ini mendapati kesemua suspek dan mangsa kejadian itu terlibat dalam kegiatan kongsi gelap, kata Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti empat suspek utama kes itu dan tangkapan akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

"Kejadian itu lebih menjurus kepada dendam antara kumpulan 04 dan 08, mungkin pertelingkahan tetapi bukan semata-mata perebutan kawasan," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Badminton Piala Ketua Polis dan Pengerusi Perkep negeri Perak di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang Sabtu lepas, seorang lelaki berusia 22 tahun maut ditetak di kepala, badan, kaki dan tangan oleh sekumpulan empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di rumah sewanya di Taman Chandan Desa dekat Simpang Pulai.

Susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang lelaki yang dipercayai pemandu kereta kumpulan itu, dalam tempoh 48 jam selepas kejadian.

Mengenai kes pembunuhan seorang ahli perniagaan wanita di Lumut pula, Acryl Sani berkata polis perlu mencari keterangan yang lebih kukuh.

Polis tidak menolak kejadian bunuh itu mempunyai kaitan dengan perasaan dan emosi, katanya.

Pada 31 Okt lepas, seorang ahli perniagaan wanita yang dikenali sebagai Nariza Mustapha, 32, meninggal dunia akibat ditikam di dada menggunakan senjata tajam di sebuah unit apartmen di Lumut.

Susulan kejadian itu, polis menahan reman seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia yang dipercayai teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan.

Lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Sementara itu, Acryl Sani berkata polis telah merakam keterangan kanak-kanak yang cedera terkena tembakan, Mohd Amar Mohd Azizi, 10, dalam bentuk video.

Mohd Amar cedera selepas seorang anggota polis terlepas tembakan ketika mengosongkan pistol automatiknya jenis P99 Walther dalam kejadian di Kampung Belanja Kiri, Parit 14 Okt lepas. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment